Friday 11 November 2016

Karangan fakta ( Makanan Segera )

Keburukan makanan segera terhadap kesihatan.




          Makanan segera ialah makanan yang telah siap diproses, dan boleh disediakan dalam tempoh waktu yang cukup singkat. Makanan segera amat sinonim dalam kalangan masyarakat kini, khususnya golongan kanak-kanak. Umum mengetahui bahawa pengambilan makanan segera secara berlebihan adalah tidak digalakkan dan boleh mendatangkan mudarat kepada diri sendiri. Namun demikian, masih ramai yang meneruskan tabiat pemakanan yang tidak sihat ini, lantaran faktor harga makanan segera yang jauh lebih murah daripada makanan biasa. Tambahan pula, kewujudan servis penghantaran makanan ke rumah amat menyenangkan kerana hanya dengan satu klik, ataupun satu panggilan, mereka sudah boleh menerima dan menikmati hidangan yang dipesan dalam masa kurang daripada 30 minit. Namun demikian, kenyataan bahawa mengambil makanan segera secara berlebihan mendatangkan kesan buruk tidak dapat disangkal lagi. Persoalannya, apakah kesan buruk pengambilan makanan segera secara berlebihan kepada kesihatan?

          Kesan perdana yang boleh didapati daripada pengambilan makanan segera yang berlebihan ialah menyumbang kepada pelbagai penyakit kronik. Contohnya seperti penyakit kencing manis, penyakit buah pinggang, sakit jantung, darah tinggi, dan lain-lain. Pepatah Inggeris yang mengatakan anda adalah apa yang anda makan ini sangat bertepatan dalam konteks penjagaan makanan sehari-hari. Seperti yang kita sedia maklum, makanan segera mengandungi banyak bahan makanan yang digunakan secara berlebihan. Salah satunya ialah gula. Gula sememangnya penting kepada tubuh badan kerana gula merupakan salah satu karbohidrat yang berfungsi membekalkan tenaga kepada kita. Namun demikian, konsumsi gula secara berlebihan adalah tidak baik dan boleh mendatangkan kesan sampingan. Sebagai tamsilannya, satu tin air minuman berkarbonat mengandungi kira-kira 10 sudu teh gula. Hal ini akan menyebabkan peningkatan paras gula di dalam darah. Paras gula yang berlebihan di dalam darah akan menyebabkan berlakunya rintangan insulin dan menyumbang kepada kegagalan insulin untuk berfungsi dengan baik. Kesannya, gula yang berlebihan itu tadi tidak akan dapat ditukarkan kepada tenaga dan sekali gus mengakibatkan pesakit yang menghidapi kencing manis ini cepat keletihan dan kepenatan apabila melakukan sesuatu kerja. Oleh itu, jelaslah bahawa mengambil makanan segera secara berlebihan boleh mendatangkan pelbagai penyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi, buah pinggang dan sebagainya.

          Selain itu, pengambilan makanan segera secara berterusan juga disenaraikan sebagai punca utama kepada masalah obesiti. Selain terkenal dengan kandungan gula yang tinggi, kebanyakan makanan segera juga mengandungi kandungan lemak tidak tepu yang tinggi. Masalah obesiti akan berlaku apabila jumlah kalori dan lemak yang dibakar tidak setimpal dengan jumlah kalori dan lemak yang diambil. Sebagai misalnya, menurut satu kajian yang dijalankan, majoriti penduduk Amerika Syarikat mengalami masalah obesiti dan kegemukan melampau. Rata-rata penduduk tempatan di sana mengambil makanan segera tanpa kawalan dan dalam kuantiti yang besar. Bahkan, ada antara mereka yang menjadikan makanan segera sebagai hidangan utama untuk disantap bersama seisi keluarga. Kesannya, mereka bukan sahaja mengalami masalah obesiti, tetapi berpotensi juga mendapat penyakit jantung, kerana salur darah telah tersumbat dengan lemak yang tidak dibakar sepenuhnya. Oleh itu, sudah nyata bahawa mengambil makanan segera bukan sahaja akan mengakibatkan masalah obesiti, tetapi turut membuka ruang untuk mendapat penyakit yang lebih kronik seperti penyakit jantung dan lain-lain.


          
          Di samping itu, mengambil makanan segera tanpa kawalan yang teratur juga boleh memberi kesan kepada otak. Dalam satu kajian yang dijalankan di Australia, rata-rata individu yang kerap mengambil makanan segera memiliki hipokampus yang lebih kecil berbanding individu yang konsisten mengambil makanan organik dan berzat. Hipokampus ialah satu kawasan otak yang bertanggungjawab dalam penyimpanan memori. Semestinya mereka yang mempunyai saiz hipokampus yang lebih besar mempunyai keupayaan mengingat yang lebih tinggi. Bukan itu sahaja, mereka yang kerap mengamalkan pemakanan yang tidak seimbang ini, khususnya remaja, mempunyai potensi untuk menghadapi tekanan dan kemurungan. Hal ini dikatakan demikian kerana makanan segera mengandungi kurang nutrien. Justeru, jumlah nutrien yang diterima tidak mencukupi, dan seterusnya akan menyebabkan berlakunya ketidakseimbangan hormon dalam diri remaja dan mengakibatkan tekanan dalam diri mereka. Oleh itu, jelaslah bahawa makanan segera bukan sahaja boleh melemahkan daya ingatan bahkan juga boleh menyebabkan tekanan dan kemurungan.

          Akhir kalam, sudah terang lagi bersuluh bahawa pengambilan makanan segera mendatangkan banyak mudarat terutama terhadap kesihatan kita. Kita seharusnya bijak dalam memilih hidangan untuk dimakan. Jangan hanya difikirkan kelazatannya sahaja, tetapi mengabaikan kandungan zat dan nutrisi yang terkandung dalam makanan tersebut. Sekiranya semua pihak mengamalkan pola pemakanan mengikut piramid makanan, pastinya masalah kesihatan seperti diabetes, obesiti, sakit jantung, dan lain-lain dapat dikurangkan, seterusnya melahirkan lebih ramai anak muda yang sihat dan seimbang dari segi mental dan fizikal.